Keputusan panel lima hakim itu dibuat atas kehendak anak-anak sendiri sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menyerahkan hak penjagaan kedua-dua anak kepada Deepa.
“Kami telah bertemu dan menemubual mereka. Nabil (anak lelaki) jelas menyatakan mahu bersama bapa manakala Sharmila (anak perempuan) mahu bersama ibu,” kata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Sharif yang mengetuai panel itu.
‘
“Kami memutuskan untuk mengetepikan arahan hak penjagaan oleh Mahkamah Tinggi. Nabil akan mengikut bapanya sementara Sharmila mengikut ibunya,” katanya lagi ketika membaca keputusan.
Berhubung soal akses terhadap anak, Raus mengarahkan Deepa dan Izwan untuk memutuskan kaedah untuk bertemu dengan anak mereka yang dijaga bekas pasangan.
Panel tersebut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Azahar Mohamed.
Selain itu, Mahkamah Persekutuan juga memutuskan sebarang kes hak penjagaan dalam perkahwinan sivil perlu didengar di Mahkamah Sivil.
Raus berkata, mengikut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian), mahkamah tertinggi di Malaysia itu mempunyai kuasa eksklusif untuk mendengar kes penjagaan walaupun salah seorang pasangan telah memeluk Islam.
“Ia tentang perkahwinan sivil. Mahkamah Syariah tiada kuasa untuk membatalkan perkahwinan sivil dan memberikan hak penjagaan,” katanya lagi.
Pada tahun 2011, Izwan memeluk Islam selepas menceraikan Deepa, dan menukarkan agama dua anaknya kepada Islam dua tahun kemudian.
Deepa diwakili peguam Fahri Azzat manakala Izwan pula diwakili Haniff Khatri Abdulla.
Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan pula mewakili Pejabat Peguam Negara sebagai pencelah.
