Deepa berharap kesnya adalah yang terakhir

Deepa berharap kesnya adalah yang terakhir

Dia menyifatkan dirinya sebagai mangsa ketidakadilan apabila anak lelakinya, V Mitran terlepas daripada pangkuannya.

deepa_Mitran_600

PUTRAJAYA:
Ibu kepada dua orang anak yang mempunyai kes mahkamah dengan bekas suaminya berhubung hak penjagaan sehingga menimbulkan kontroversi berharap agar kes itu adalah yang terakhir.

“Saya harap kes saya ini yang terakhir,” kata S Deepa selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dalam kes hak penjagaan antaranya dan bekas suaminya Izwan Abdullah yang telah memeluk Islam.

Bagaimanapun, dia menyifatkan dirinya sebagai mangsa ketidakadilan apabila anak lelakinya, V Mitran ‘terlepas daripada pangkuannya’.

“Saya harap keadaan saya tidak akan berulang. Saya harap situasi ini tidak akan berlaku kepada ibu-ibu tunggal yang lain.

“Saya sedih kerana saya berharap untuk bersama-sama kedua-dua anak. Ini sangat tidak adil,” katanya dalam nada sedih.

Dalam pada itu, katanya, dia telah ditimpa pelbagai kesulitan sepanjang kes perebutan anaknya itu berlangsung sehingga mendapat perhatian ramai.

“Anak lelaki saya dirampas, saya diceraikan, tiada siapa membantu saya dari segi kewangan. Tolonglah, saya tidak mahu kes seperti ini berulang,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Sharif hari ini memutuskan hak penjagaan anak perempuan, V Sharmila (Nurul Nabila), 11 tahun, kepada Deepa manakala anak lelaki, V Mitran (Nabil), 8 tahun, kepada Izwan Abdullah (N Viran).

Pengarah Woman Aid Organisation (WAO) Sumitra Visvanathan yang mengiringi Deepa di mahkamah berkata, keputusan itu tidak mengambil kira tindakan Izwan menculik anaknya daripada Deepa.

“Ketidakadilan apabila Mitran diculik tidak disebut dalam mahkamah.

“Deepa mahu Malaysia berubah, untuk mengiktiraf hak wanita, menegakkan kesaksamaan dan menghentikan keganasan terhadap wanita,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.