1,000 nelayan bakal terancam akibat projek tambak laut di Pulau Pinang

1,000 nelayan bakal terancam akibat projek tambak laut di Pulau Pinang

Nelayan mendesak kerajaan negeri supaya membatalkan projek menambak di Bayan Lepas dan Teluk Kumbar kerana ia akan menjejaskan kehidupan lebih 1,000 nelayan pantai negeri ini.

penang_nelayan_600

BALIK PULAU:
Nelayan di negeri ini menggesa kerajaan negeri membatalkan projek menambak laut dan mencari alternatif bagi menampung kos pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Mohd Ismail Ahmad, berkata ini kerana projek yang bakal diadakan di laut di kawasan Bayan Lepas dan Teluk Kumbar itu akan menjejaskan kehidupan lebih 1,000 nelayan pantai di negeri ini.

“Kami meminta kerajaan negeri supaya jangan mengganggu lubuk emas kami dan bagi ruang untuk nelayan di sini menampung kehidupan anak serta cucu sendiri melalui hasil laut.

“Kawasan laut yang ingin ditambak kerajaan negeri ini adalah lubuk rezeki bukan sahaja bagi nelayan sekitar tetapi juga lubuk rezeki buat nelayan pantai seluruh negeri ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya mendengar luahan rakyat bawahan, terutamanya golongan nelayan yang akan terkesan dengan projek itu jika ia dilaksanakan.

“Apakah kerajaan negeri mahu menampung hidup kami yang akan kehilangan punca pendapatan sekiranya projek ini dilaksanakan kelak,” katanya.

Terdahulu, Mohd Ismail bersama sekumpulan 20 nelayan dan 50 anggota PAS Pulau Pinang mengadakan bantahan aman di Jeti Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS negeri, Muhamad Sanusi Md Nor berkata, tindakan kerajaaan negeri menggunakan pendekatan tambak laut bagi menampung kos pelan induk itu perlu diperincikan.

Beliau berkata, pihaknya percaya terdapat kaedah lain yang lebih efektif boleh dilakukan bagi membiayai pelaksanaannya.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dipetik berkata, aktiviti tambakan laut yang dirancang Kerajaan Pulau Pinang itu akan diteruskan mengikut fasa, bagi membiayai kos projek di bawah PIP yang berjumlah RM28 bilion.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.