Status pemilikan FINAS tiada agenda perkauman – KP FINAS

Status pemilikan FINAS tiada agenda perkauman – KP FINAS

Tidak timbul isu FINAS mahu khalayak menyokong filem tertentu sahaja kerana statistik tersebut dikumpulkan selepas filem ditayangkan.

finas-Datuk-Kamil-Othman

AMPANG:
Tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengkategorikan pemilikan penerbit filem kepada ‘Bumiputera’ dan ‘Bukan Bumiputera’ adalah atas tujuan pengumpulan maklumat dan analisis, bukannya atas motif perkauman.

Ketua Pengarah FINAS Datuk Kamil Othman menjawab kritikan sesetengah pihak selepas kategori itu dimasukkan dalam senarai filem-filem ‘pecah panggung’ yang disiarkan di laman rasmi FINAS semalam.

Beliau berkata, statistik tersebut sebenarnya sudah dikumpulkan sejak dua tahun lalu dan hanya untuk kegunaan dalaman dan tidak sepatutnya diterbitkan kepada umum.

“Atas kecuaian, kategori pemilikan yang termasuk dalam senarai pecah panggung yang disiarkan ke laman web. Kalau kategori lain yang disiarkan, tak akan timbul isu.

“Ada banyak lagi pecahan kategori lain yang kita kumpul dalam statistik. Malah di bawah kategori ‘Bukan Bumiputera’, turut ada beberapa lagi pecahan lain,” katanya ketika ditemui di Finas hari ini.

Katanya lagi, FINAS mengumpul pelbagai statistik tentang industri perfileman tempatan antaranya untuk mengetahui bagaimana industri bergerak, serta jenis filem yang digemari penonton.

“Kita juga ada kategori pecahan penonton. Dari situ, kita misalnya dapat tahu filem Jagat walaupun dalam bahasa Tamil ditonton oleh pelbagai kaum. FINAS ingin mencari ‘filem Malaysia’,” katanya lagi.

Selain itu, katanya lagi, FINAS juga perlu memberikan laporan kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera Jabatan Perdana Menteri berhubung penglibatan golongan bumiputera dalam industri kreatif.

Justeru, beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Finas mempunyai agenda perkauman seperti ingin peminat filem tempatan menyokong filem dari syarikat Bumiputera sahaja.

“Ini senarai pecah panggung, maknanya ia dikumpulkan selepas filem habis ditayangkan. Maka tidak timbul soal kita nak penonton hanya memilih filem tertentu sahaja. Janganlah sensitif sangat.

“Orang tahu prinsip saya, saya orang filem. Filem yang bagus tidak mengira bahasa dan kaum,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.