Malah, Cawangan Khas (SB) ketika dihubungi FMT semalam berkata individu atau kumpulan yang dihubungi oleh pengebom Jakarta tempoh hari telah dikenalpasti.
“Kita sudah ada sasaran-sasaran tertentu,” kata Pengarah SB Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, “tetapi siasatan masih berjalan. Kita tidak boleh bertindak sewenangnya.”
Berbanding keadaan di Indonesia dan Filipina, beberapa ciri tertentu menunjukkan IS di Malaysia masih diperingkat percambahan, menurut IMAN Research.
Penyelidikan badan itu mendapati pengkaderan dan operasi IS di negara ini berlaku secara terpencil. Berbanding JI yang mempunyai pusat arahan tersendiri (syura), bahagian (mantiqi) dan cawangan (wakalah), sel IS tidak tersusun sepertimana regu mereka di Syria dan Iraq.
“Mereka (IS di Malaysia) bergantung kepada kepimpinan dari Timur Tengah, samada dalam operasi pengkaderan mahupun militan. Tangkapan terbaru mendedahkan anggota mereka mengambil perintah daripada seorang militan Malaysia di Syria yang bernama Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, dan Bahrum Naim, seorang militan Indonesia yang disyaki dalang serangan di Jakarta,” lapor IMAN Research.
Berkenaan individu atau kumpulan yang telah dikenalpasti, Bukit Aman ketika ditanya samada Cawangan Khas tertumpu kepada suspek tertentu sekadar menjawab:
“Saya tidak kata ya atau pun tidak,” kata Fuzi.
Ditanya mengenai pengendalian maklumat berkenaan individu atau kumpulan terbabit, Fuzi berkata polis mengambil sikap berhati-hati bagi memastikan keberkesanan operasi mereka.
“Perlukan bukti yang kukuh, selepas berpuas hati baru kita akan bertindak,” katanya.
Walaupun ada pengganas bersembunyi di kalangan kita, penyelidikan IMAN Research berkata pelaksana (operative) IS di Malaysia, termasuk mereka yang dilaporkan sebagai figura utama gerombolan itu tidak mempunyai sejarah militan.
“Itu mencadangkan mereka (IS di Malaysia) barangkali masih baharu dalam aktiviti militan. Ini menunjukkan pertubuhan itu baru bermula dan tidak bergerak menggunakan aset generasi pelampau jihad sebelum ini.”