Menurut sumber yang merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang enggan namanya didedahkan, keputusan itu akan dibuat selepas Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengadakan perjumpaan dengan kesemua 21 ADUN Barisan Nasional (BN) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Kata sumber itu , Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut dikatakan berkenan dengan senarai nama yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadap di Istana Darul Aman di Bukit Persekutuan pada 29 Januari lalu.
“Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah berkenan untuk menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, namun hanya akan memutuskan perkara tersebut setelah mengadakan pertemuan tertutup dengan kesemua ADUN BN bagi mendengar sendiri pengakuan.
“Sekiranya Menteri Besar yang baharu dilantik, Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah mahu agar kesemua atau sekurang 8 orang Exco yang ada dikekalkan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar,” kata sumber itu ketika dihubungi FMT.
Menguatkan lagi jangkaan itu, sumber berkenaan memberitahu, perkara tersebut juga dimaklumkan oleh Najib dalam satu perjumpaan tertutup bersama beberapa orang ADUN BN di rumahnya di Jalan Langgak Duta, petang semalam.
Sumber itu turut menjelaskan, dalam pertemuan tertutup berkenaan, kesemua ADUN yang hadir meminta agar majlis angkat sumpah diadakan selewat-lewatnya Rabu ini.
“Dalam pertemuan tersebut, semua ADUN yang hadir meminta Perdana Menteri memohon perkenan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk mengadakan majlis angkat sumpah selewat-lewatnya hari Rabu sebelum Mesyuarat EXCO diadakan.
“Manakala Perdana Menteri (Najib) dalam pertemuan tersebut turut meminta kesemua ADUN Kedah menerima siapa sahaja calon yang dilantik oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebagai Menteri Besar,” ujar sumber itu.
Hari ini, Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan mengadakan satu pertemuan bersama 21 ADUN Kedah daripada BN.
Mukhriz turut mengesahkan perjumpaan itu yang akan dibuat ke Wisma Darul Aman sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kedah, semalam.