Ketuanan Melayu, Perkara 153, punca minda Melayu terpenjara – Bakri Musa

Ketuanan Melayu, Perkara 153, punca minda Melayu terpenjara – Bakri Musa

Ketuanan Melayu yang dianggap pelindung, memenjarakan minda orang Melayu dan menyebabkan gagal bersaing dan menjadi kuli di Tanah Melayu.

M-Bakri-Musa

PETALING JAYA:
Tanpa konsep ‘Ketuanan Melayu’ sekali pun, orang Melayu sebenarnya mampu menjadi ‘tuan’ di mana-mana sahaja jika mereka berani dan mampu bersaing, kata penulis Dr Bakri Musa.

Dalam wawancara eksklusif bersama FMT 28 Jan lalu sempena pelancaran bukunya ‘Liberating the Malay Mind’, beliau meluahkan harapannya agar orang Melayu mampu keluar daripada tempurung Ketuanan Melayu yang sekian lama mengurung mereka.

“Kita telah berbincang tentang masalah orang Melayu untuk berdekad lamanya dan kemungkinan ketika cucu saya menjadi datuk dan nenek pun, masalah ini masih tidak selesai. Ini kerana kita tidak membincangkan isu akarnya,” katanya yang juga merupakan seorang pakar bedah berjaya di Amerika Syarikat.

“Kita didoktrin olehnya (Ketuanan Melayu) dan Artikel 153 bukannya memerdekakan, tetapi memenjarakan kita. Dan penjara yang paling teruk adalah apabila anda tidak menyedarinya.”

Justeru, beliau mencadangkan agar orang Melayu mengubah persepsi mereka dengan melihat ‘Ketuanan Melayu’ sebagai penghalang, dan bukannya tongkat memandangkan “selama berdekad, Ketuanan Melayu tidak membawa kita ke mana-mana”.

“Keluar daripada tempurung dan sedia berhadapan dunia yang luas terbuka. Jika kita berani dan mampu bersaing, orang Melayu boleh menjadi tuan di mana-mana sahaja, bukan sekadar di Tanah Melayu.

“Tetapi jika mereka takut untuk bersaing, di Tanah Melayu pun mereka akan menjadi kuli,” katanya lagi.

Beliau juga menggariskan beberapa perkara yang perlu dilakukan bagi ‘memerdekakan minda Melayu’ dan bersedia untuk bersaing di dunia terbuka, antaranya mengubah sistem pendidikan dan pemahaman terhadap agama.

Katanya, sistem pendidikan mestilah diangkat menjadi kelas pertama dengan infrastruktur dan guru berkualiti tinggi serta pembelajaran yang menggalakkan murid untuk berfikir sendiri.

Katanya lagi, cara orang Melayu memahami dan mengamalkan agama gagal mengangkat darjat mereka. Beliau secara jelas menekankan istilah ‘agama’, dan bukannya ‘Islam’.

“Saya gunakan istilah agama dan bukannya Islam kerana Islam adalah kuasa perubahan yang hebat. Tetapi agama seperti yang diamalkan di sini, bukan sahaja tidak mengubah dan mengangkat kedudukan kita, tetapi juga memenjarakan minda.

“Pemahaman dan teras keyakinan (faith) kita sama sekali berbeza jika dibandingkan ketika era tamadun Islam yang hebat,” katanya lagi.

Edisi kedua ‘Liberating the Malay Mind’ terbitan ZI Publications akan dilancarkan hari, bersama-sama edisi Bahasa Melayu bertajuk ‘Memerdekakan Minda Melayu’.

Buku yang diterbitkan tiga tahun lalu ini antaranya merungkai sejarah dan budaya Melayu, serta obsesi masyarakat Melayu masa kini terhadap konsep ‘Ketuanan Melayu’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.