
Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pada masa ini seramai 11,274 orang daripada keseluruhan 109,304 warga pasukan itu mengalami masalah berat badan.
Katanya, perkara itu diketahui berdasarkan sumber yang dikeluarkan Pangkalan Data HRMIS 2015.
“Tambahan lagi, laporan statistik menunjukkan angka kematian yang mencecah 250 orang di kalangan warga polis yang masih berkhidmat pada 2015 akibat pelbagai jenis penyakit.
“Maka kem ini amat sesuai diadakan dan akan dikekalkan sebagai salah satu usaha murni pasukan untuk menjauhkan warga polis daripada penyakit-penyakit seperti kencing manis, sakit jantung, darah tinggi, strok dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, di sini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Sempena Kem ‘Trim and Fit 2016’ yang disertai seramai 35 orang pegawai polis.
Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan, memiliki tubuh badan ‘Trim dan Fit’ bukanlah kriteria utama untuk semua pegawai polis menikmati kenaikan pangkat.
Katanya, pengenalan syarat baru itu hanyalah salah satu kriteria yang wajib dimiliki kerana di samping itu mereka juga perlulah memiliki prestasi kerja yang baik.
Tambahnya program ini juga akan dikaji semula selepas enam bulan untuk dinilai dan sekiranya berjaya, syarat untuk memiliki kriteria itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Saya kena betulkan. Tak semestinya mereka yang ‘Trim dan Fit’ akan naik pangkat. Dia akan ada lagi kriteria lain. Antaranya prestasi tugas semestinya dinilai. Kalau tumpu badan ‘Sado’ sahaja, kriteria lain tidak ada, tidak boleh juga.
“Jadi jika mereka memiliki ‘Trim dan Fit’ dan prestasi tugas bagus, peluang untuk naik pangkat itu ada,” jelasnya.
Sehuhungan itu, Zulkifli berharap warga PDRM dapat mengamalkan aktiviti bersukan dan riadah supaya dapat mengekalkan badan yang sihat, aktif dan sentiasa mempunyai tubuh yang baik.