Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), mendakwa tiga laporan polis yang dibuat Orang Asli suku Temiar terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Tarmizi Idris yang melepaskan tembakan diabaikan, selain menerima ugutan daripada anggota polis tempatan.
Wakil JOAS, Shashi Devan berkata, Tarmizi didakwa melepaskan tembakan ke udara di Kampung Sungai Papan ketika melawat kawasan itu untuk meninjau projek tangki air yang dibina Orang Asli di situ dengan sokongan DAP menerusi Projek Impian Malaysia.
Katanya, insiden tembakan ke udara itu menakutkan penduduk kampung Orang Asli itu dan menyebabkan mereka membuat laporan polis.
“Sekumpulan Orang Asli suku Temiar membuat laporan polis di Balai Polis Grik tetapi diminta mengajukan aduan ke pejabat UMNO.
“Apabila polis di Balai Polis Grik enggan menerima laporan, mereka ke Balai Polis Lenggong pula dan di balai polis itulah seorang Orang Asli dikenali sebagai Anjang diugut dan dilemparkan kata kesat,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Shashi berkata, susulan kejadian itu, Orang Asli suku Temiar di kampung itu membawa perkara berkenaan ke Bukit Aman dan pegawai polis di Bukit Aman memberi jaminan akan menyiasat perkara itu.
Katanya, beliau meminta polis mengambil tindakan terhadap anggota di balai polis berkenaan apabila siasatan selesai.
