Bauksit: Selangor kaji kualiti air yang dibeli dari Pahang

Bauksit: Selangor kaji kualiti air yang dibeli dari Pahang

kerajaan Selangor mahu memastikan kualiti air yang dibeli itu selamat untuk digunakan oleh rakyat

kualiti-air

SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor sedang mengkaji tahap kualiti air yang dibeli dari negeri Pahang berikutan dikhuatiri dicemari bauksit.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah berkenaan dilaksanakan bagi memastikan kos merawat air mentah yang mungkin tercemar itu tidak akan membebankan rakyat negeri ini.

“Perjanjian pembelian air mentah dari Pahang yang dibuat pentadbiran negeri sebelum ini menjanjikan kualiti air yang baik dan selamat bagi rakyat di sini.

“Disebabkan itu kami mahu kaji semula kualiti bahan mentah tersebut dan jika ia mencapai tahap pencemaran berbahaya, ia pasti memerlukan kos rawatan yang besar dan tinggi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri upacara menanam 13,000 pokok oleh 850 sukarelawan bersempena pembukaan cawangan baharu pusat beli-belah Aeon di Seksyen 13, di sini.

Menurut Azmin, kajian selama dua bulan itu untuk menentukan tindakan selanjutnya sama ada pembayaran 10 sen bagi setiap meter padu air yang dibeli masih relevan dengan kualiti yang ditawarkan kerajaan Pahang.

Mohamed Azmin berkata, jumlah bekalan air mentah yang dibeli setakat ini belum mencapai kadar maksimum dan ia disalurkan ke Loji Rawatan Air Langat 2 bagi proses rawatan.

Bagaimanapun katanya, jumlah bekalan air yang rendah itu juga sesuai dengan kadar pengoperasian loji berkenaan yang masih belum siap sepenuhnya sebelum menyalurkannya kepada rakyat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memastikan kualiti air yang dibeli itu selamat untuk digunakan oleh rakyat di sini,” katanya.

Tambahnya, kajian tersebut juga dibuat sebagai langkah untuk memastikan bekalan air terawat di Selangor sentiasa mencukupi bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga September depan.

Sejak tahun lepas, kerajaan Selangor meneruskan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) dengan menerima air mentah sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) daripada Sungai Semantan, Pahang ke Sungai Langat.

Bernama

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.