
Pakar ekonomi, Prof Dr Hoo Ke Ping berkata TPPA akan memberi kesan campuran keatas monopoli dan oligopoli di negara ini dan itu akan memberi impak negatif dan positif kepada orang ramai.
Ke Ping menjelaskan pemansuhan mekanisme perlindungan untuk industri tempatan seperti penternakan, akan menghapuskan oligopoli dalam industri itu, yang dikuasai oleh orang tengah.
“Orang tengahlah yang mengganggu harga, menyebabkan harga daging tempatan yang lebih mahal, dan TPPA akan menghapuskan gangguan itu.”
Keadaan itu bagaimanapun boleh membawa kepada kebergantungan kepada daging import dan sekiranya itu berlaku boleh menimbulkan isu pembekalan sekiranya negara pembekal mengalami bencana alam atau penyakit haiwan.
Mengulas lanjut, Hoo berkata penyertaan syarikat gergasi ke Malaysia akan memberi tekanan kepada syarikat tempatan kerana tidak mampu menandingi persaingan.
“Dalam hal ini, apabila syarikat tempatan tidak dapat bersaing dan gulung tikar, kita akan menyaksikan penciptaan monopoli angkara ketiadaan persaingan, dan bukan kerana ketiadaan kawalan.
“Kita tidak boleh melabel ciptaan itu nanti sebagai monopoli atau oligopoli tetapi yang seperti itulah yang akan berlaku kerana syarikat dari Amerika Syarikat sangat besar.”
Sementara itu, Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan berkata pengguna berasa bimbang TTPA akan membawa kepada monopoli ekoran klausa keeksklusifan dan kenaikan harga.
Malah, monopoli sudah terwujud di Malaysia dan tiada undang-undang yang mencukupi untuk melindungi pengguna daripada monopoli, katanya, dengan merujuk kepada perkhidmatan televisyen satelit.
“Syarikat menggemari monopoli atau oligopoli, kamu tidak boleh harapkan mereka menjaga kepentingan rakyat, kerana itu umpama meminta serigala menjaga ayam.”
Walaubagaimanapun, Nadzim berkata kuasa pengguna boleh menumpaskan monopoli.
“Syarikat tidak berkuasa selagi rakyat bersatu bawah payung pengguna, mereka tidak boleh paksa pengguna membeli barangan atau perkhidmatan mereka,” katanya, dan menambah pengguna perlu memanfaatkan kuasa pengguna masing-masing.