Kenyataan ‘Kristian niaga agama’ tak jejas pengundi PAS Sarawak

Kenyataan ‘Kristian niaga agama’ tak jejas pengundi PAS Sarawak

Jofri mengiyakan kata Hadi bahawa memang terdapat mubaligh Kristian yang datang ke kawasan pendalaman di Sarawak terutamanya memberi sumbangan makanan mislanya untuk menarik minat mereka menyertai agama itu.

PAS

PETALING JAYA:
Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mubaligh Kristian mengumpan sasaran mereka dengan wang dan bantuan lain untuk menyebarkan agama itu tidak akan menjejaskan pengundi parti Islam itu di Sarawak.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, pengundi di Sarawak sememangnya sudah bijak menilai parti yang menjaga kebajikan mereka.

Katanya, sekiranya kenyataan itu tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu, ia tidak akan menjejaskan peluang PAS untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Kalau sentuh secara umum, tiada masalah. Saya rasa ia tidak akan jejaskan pengundi. Kecuali ada yang ambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pada masa sama, dia juga mengakui bahawa kenyataan yang dibuat oleh Hadi sahih.

Katanya, memang terdapat mubaligh Kristian yang datang ke kawasan pendalaman di Sarawak terutamanya memberi sumbangan makanan misalnya untuk menarik minat mereka menyertai agama itu.

“Ini kerana kebanyakan mereka mudah tertarik kerana soal kebajikan amat penting untuk kawasan-kawasan seperti di pendalaman yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Hadi sebelum ini dilapor berkata, agama Kristian tidak lagi laku di negeri berpendidikan tinggi seperti di Jerman, Perancis, Britain dan beberapa negara Eropah justeru mubaligh Kristian pada masa kini menyasarkan Afrika yang jauh dari kemajuan pendidikan dan ketamadunan untuk menyebarkan agama itu selain Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.