
Menurut Azwan, dia juga tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuat olehnya sebelum ini kerana merasakan dia berada di pihak yang benar.
“Yang saya katakan itu tentang iklan, bukan produk, saya berpegang teguh bahawa sebagai seorang yang cukup berpengalaman saya mempertahankan hak untuk memberi komen tentang semua iklan, rancangan televisyen tanpa was-was,” katanya mengikut laporan Sinar Online, hari ini.
Semalam, Azwan diberikan tempoh sembilan hari untuk memohon maaf dan menarik balik semua kenyataan yang dibuatnya mengenai produk kicap Tirana.
Peguam syarikat produk kicap Tirana, Adnan Seman dipetik sebagai berkata, pihaknya menuntut permohonan maaf bertulis dibuat Azwan dalam tempoh yang diberikan itu.
Katanya, sekiranya tiada sebarang jawapan diberikan, Azwan bakal disaman oleh pihaknya kerana menyebabkan imej produk Kicap Tirana terjejas.
Baru-baru ini, Azwan memuat naik beberapa kenyataan ‘panas’ dan video di laman Instagramnya mengenai iklan komersial kicap Tirana.