Najib janji berjuang menentang ekstremisme

Najib janji berjuang menentang ekstremisme

Keamanan negara dapat dikekalkan sekiranya semua pihak tanpa mengira kaum dan agama menjaga keharmonian sedia ada.

najib-razak,malaysia
SERI KEMBANGAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk berjuang habis-habisan menentang ekstremisme.

Menurutnya, Malaysia akan menentang apa jua bentuk keganasan dan pelampau agama serta kaum di negara ini.

“Sebagai Perdana Menteri, saya beri jaminan kita akan menentang habis-habisan apa juga bentuk keganasan dan apa jua bentuk pelampau agama dan kaum,” ujarnya sewaktu berucap di hadapan kira-kira 1,500 ahli Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Najib menyatakan keamanan negara akan hanya dapat dikekalkan sekiranya semua pihak tanpa mengira kaum dan agama menjaga keharmonian yang sedia ada.

“Kita boleh mengekalkan keamanan dan keharmonian jika semua pihak bekerjasama,” katanya lagi.

Sebelum ini, dalam kejadian serangan bom di Jakarta, tujuh orang mati termasuk lima daripadanya adalah suspek pengganas manakala lebih daripada 20 orang termasuk lima anggota polis yang dilaporkan parah.

Kumpulan pengganas terbabit memulakan serangan berhampiran premis kafe Starbucks di Gedung Cakrawala, Jalan MH Thamrin dengan melemparkan bom dan melepaskan tembakan ke arah polis sebelum ditembak mati oleh pasukan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.