Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha berkata mereka berhadapan dengan organisasi yang menggunakan kelajuan dan keluasan ruang maya untuk pengkaderan militan.
“Penglibatan mereka adalah dipengaruhi internet. Itu susah sikit kita hendak kawal. Mereka (rakyat Malaysia) mudah sangat terpengaruh melalui internet,” ujarnya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKKL), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Othman berkata JAKIM giat menjalankan program penerangan mengenai bahaya IS sejak tahun lalu, dan menarik penglibatan imam setempat untuk bersama usaha memerangi hasutan IS.
“Kita sasarkan sejuta masyarakat tetapi kita dapat lebih. Kita juga mengadakan pertemuan melalui imam-imam yang mana mereka akan memberi penjelasan kepada masyarakat setempat.
“Saya harap mereka faham mengenai makna jihad yang sebenar. Kerana ia, adalah satu fahaman yang salah,” katanya lagi.
Othman turut memberitahu sesi penerangan tersebut turut dilakukan kepada penganut fahaman Syiah dan Wahabi.
Semalam, insiden pengeboman berlaku di Indonesia telah melibatkan sekurang-kurangnya 6 orang, 3 daripadanya anggota polis, terbunuh manakala beberapa orang yang lain, termasuk anggota polis, cedera dalam siri letupan di kawasan berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jakarta.
Pengganas IS mengaku bahawa mereka bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.