Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata strategi itu akan digunakan DAP untuk meluaskan kuasanya di negara ini.
Katanya, agak mustahil untuk DAP menguasai negara ini kerana majoriti pengundi adalah Melayu tetapi parti akan mencuba pelbagai strategi termasuk menambah calon-calon Melayu.
“Memang agak mustahil bangsa lain boleh memerintah negara ini kerana majoriti masih lagi dipegang orang Melayu.
“Tetapi jika kalau DAP boleh letak calon Melayu dan calon itu menang, mungkin parti itu tiada masalah untuk mendapat kerusi majoriti di Parlimen,” katanya kepada FMT.
Azizuddin yang juga penganalisis politik berkata demikian bagi mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa orang Melayu kekal berkuasa di negara ini dan sama sekali tidak akan kehilangan kuasa.
Daripada 162 kerusi Parlimen di Semenanjung, 114 adalah kerusi majoriti Melayu, 22 majoriti Cina, 29 majoriti campuran manakala tiada satupun kerusi majoriti India.
Azizuddin berkata, DAP mungkin tiada masalah untuk menang di kawasan bandar yang majoriti pengundi Melayu kerana lebih bersikap terbuka dan liberal.
“Saya rasa bagi masyarakat Melayu di bandar, mereka tiada masalah sebab sudah biasa menerima pandangan daripada DAP dan bersikap terbuka.
“Tetapi di kawasan luar bandar, DAP masih sukar diterima tetapi ia tidak mustahil dengan keadaan politik semasa,” katanya.