Mat Taib ajar Azmin jadi MB yang bagus

Mat Taib ajar Azmin jadi MB yang bagus

Azmin perlu beri tumpuan kepada isu-isu yang dibangkitkan rakyat

Tan-Sri-Mohamad,azmin

SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disaran agar menunjukkan perbezaan dari segi pentadbiran dengan tidak mengikut langkah yang dilakukan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) Selangor.

Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, Azmin perlu memberikan tumpuan kepada isu-isu yang dibangkitkan rakyat.

“Dia (Azmin) cuba sebaik mungkin tetapi dia patut tumpukan isu-isu seperti sampah dan penjimatan yang dibangkitkan rakyat. Sepatutnya, pentadbiran negeri yang bukan BN harus tunjukkan perbezaan.

“Azmin perlu kaji keadaan negara ini yang nampaknya macam mewah dan kita seharusnya menunjukkan bahawa kita bukan macam itu. Kalau tidak, rakyat tidak akan nampak beza,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT di kediamannya.

Muhammad yang mesra dipanggil Mat Taib berkata, kerajaan Pakatan Harapan harus lebih mudah didekati dan disenangi rakyat, efisien dalam pentadbiran serta berusaha untuk menyatu-padukan rakyat.

“Kita tidak boleh bersendiri, kita kena menjadi model kepada pimpinan negara ini. Kita harus jadi lebih baik,” jelasnya.

Pada masa sama, Mat Taib yang kini berjuang bersama PKR turut memuji corak pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu menggalas tugas sebagai Menteri Besar.

“Masing-masing ada gaya pimpinan. Tetapi prinsipnya kena betul. Penjimatan yang dia lakukan bagus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.