
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Sakib Kusmi berkata suami Zahnita, iaitu Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, membuat laporan polis itu sebelum memohon pasport baharu.
Sakib menjelaskan imigresen bertindak mengikut prosedur dan membatalkan pasport lama sebelum mengemukakan pasport baharu.
“Kami membatalkan pasport lama berdasarkan kepada dokumen sokongan,” katanya yang merujuk kepada laporan polis, seraya menyangkal dakwaan bahawa laporan polis tidak dibuat sebelum mengemukakan dokumen perjalanan baharu.
Kelmarin, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menerima aduan Zahnita mendakwa berlakunya percanggahan prosedur di pihak imigresen kerana mengemukakan pasport baharu sedangkan pasport lama ada dalam simpanan pengadu.
Mengulas perkara itu, Sakib berpendapat ianya kekeliruan yang berlaku akibat salah faham antara pengadu dan suaminya, atau si suami telah membuat laporan polis palsu dan Zahnita tidak sedar pasport lama itu telah dibatalkan.
Sakib menambah imigresen akan terus membatalkan pasport yang dilaporkan hilang kerana tidak mempunyai cara untuk mengesahkan kehilangan itu.
Zahnita dan suaminya dilaporkan sedang melalui proses perceraian dan hak penjagaan anak belum diputuskan mahkamah syariah. Zahnita mendapati suaminya telah membawa dua anak mereka bercuti ke luar negara, meskipun pasport berada dalam simpanannya.