Ia sebagai langkah mengurangkan kesan pencemaran semasa mengangkut bahan mineral itu.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perkara itu terkandung dalam penambahbaikan peraturan membawa bauksit, hasil perbincangan bersama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan akan diserahkan kepada kerajaan Pahang, lapor BERNAMA.
Turut dipertimbangkan, penggunaan kotak hitam atau teknologi terkini lain, jika tiada pilihan lain bagi memastikan tiada lori bauksit dipandu melebihi had laju yang ditetapkan.
“Kita adakan had laju kepada lori kerana ada pemandu yang mahu mengambil lebih banyak trip akan dipandu laju yang membahayakan penduduk dan menyebabkan pencemaran.
“Kita juga akan pastikan semua lori sebelum ke jalan besar perlu dicuci dan ditutup dengan baik serta mematuhi syarat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya ketika ditemui di Bentong, hari ini.
Tiong turut berjanji untuk beri tumpuan kepada pelabuhan, selain telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Saripuddin Kasim untuk meninjau serta memastikan semua syarat yang ditetapkan dipatuhi agar tiada pencemaran berlaku di laut.
“Kementerian akan memastikan saranan oleh JAS seperti tidak membenarkan bauksit bertaburan dan tidak dijadikan tempat simpanan, menggunakan sistem kepungan supaya debu tidak ditiup angin dipatuhi,” katanya.
Selain itu, kementerian juga mendapatkan saranan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) supaya kejadian kapal mengangkut bauksit tenggelam dan mengorbankan 18 nyawa tidak berulang.
Beliau juga mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu bauksit ini.