Panglima ATM sahkan anggota ditahan bantu kes tembak

Panglima ATM sahkan anggota ditahan bantu kes tembak

ATM juga telah diarahkan untuk menyiasat kejadian itu

Zulkifeli-Mohd-Zin_polis_handcuf_tembak_600

KOTA BAHARU:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengesahkan dua anggotanya kini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan oleh seorang suspek yang dipercayai terbabit dengan kes penyeludupan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zin berkata selain polis, ATM turut melakukan siasatan terhadap kejadian itu.

“Pihak polis (sedang) membuat siasatan… pihak tentera pun saya telah arahkan untuk buat siasatan atas kejadian yang berlaku.

“Saya tak dapat komen apa-apa waktu ini. Kita tunggu hasil siasatan polis,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 7.15 malam semalam, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an maut selepas terkena tembakan anggota tentera yang bertugas di sebuah pos kawalan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Anggota itu melepaskan tembakan setelah van yang membawa lelaki itu, tidak berhenti di pos kawalan untuk pemeriksaan.

Tembakan itu dikatakan terkena lelaki itu yang duduk di kerusi penumpang hadapan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi hari ini enggan mengulas mengenai kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.