Menurut Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Hamid, Akta Socso memperjelaskan bahawa saman boleh dibuat jika debu bauksit dibuktikan mengakibatkan kesan sampingan kepada pekerja tersebut.
“Pekerja terbabit perlu dibawa kepada doktor untuk pemeriksaan perubatan dan sebaik mendapat pengesahan doktor, mereka boleh bertindak menyaman syarikat berkenaan,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today di sini hari ini.
Namun, dari segi jumlah pampasan, Abdullah berkata ia bergantung kepada tahap kritikal individu terbabit.
Ditanya jika pihaknya menerima sebarang aduan pekerja-pekerja perlombangan bauksit terkesan dengan sebarang penyakit, Abdullah Sani menyatakan belum ada aduan rasmi kecuali hanya ‘cakap-cakap’ dalam kalangan penduduk dan pekerja.
Semalam, Felo Penyelidik Kualiti Udara Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) Dr Azman Azid menjelaskan orang ramai yang terdedah dengan debu bauksit dalam tempoh yang panjang berisiko menghidap penyakit Alzheimer.
Menurut Dr. Azman lagi, bauksit mengandungi aluminium hidroksida yang mana debu bahan yang terbebas di udara jika dihidu dalam tempoh lama boleh menyekat pengaliran oksigen dalam darah sekaligus sistem saraf.
