Presidennya, Salkukhairi Abd Sukor, berkata caj membabitkan urusan seperti carian rasmi, pendaftaran milik dan pendaftaran pindah milik hartanah dinaikkan sejak 4 Januari lalu.
Katanya, caj baharu carian rasmi adalah RM100 untuk setiap carian berbanding kadar lama sebanyak RM30, urusan carian persendirian naik daripada RM20 kepada RM50 dan urusan salinan sah hak milik dokumen naik daripada RM30 kepada RM50.
“Kenaikan juga berlaku pada bayaran urusan pendaftaran pindah milik tanah, di mana hartanah bernilai RM100,001 hingga RM250,000 kadar bayaran ditetapkan adalah RM400, berbanding RM250 sebelum ini.
“Hartanah bernilai RM250,001 hingga RM500,000 bayaran pendaftaran pindah milik adalah sebanyak RM800 berbanding kadar terdahulu sebanyak RM500,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Salkukhairi berkata, kadar bayaran baharu pendaftaran pindah milik hartanah bernilai RM500,000 ke atas dinaikkan daripada RM550 kepada RM1,200.
Mengulas lanjut, katanya, kenaikan bayaran untuk urusan berkenaan adalah tidak munasabah dan amat membebankan rakyat negeri terbabit.
“Sudahlah rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga barang dan perkhidmatan lain. Kini terpaksa pula membayar kos berlipat kali ganda untuk urusan di pejabat tanah” katanya.