Bercakap kepada FMT, Zainal bagaimanapun berkata kerajaan tidak sewajarnya mencampuri pengurusan syarikat oleh MAB.
“Mereka (MAB) seharusnya memberi kebebasan kepada pramugari untuk memilih, kerana ada yang mahu memakai hijab dan ada yang tidak mahu.
“Bagaimanapun, dari sudut pandang perniagaan, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat harus diberi kebebasan untuk menguruskan syarikatnya seperti yang dirasakan perlu kerana beliau menjawab kepada lembaga syarikat,” katanya ketika dihubungi untuk mengulas saranan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kepada kerajaan menggesa MAB membenarkan pramugari memilih untuk memakai hijab dan tidak menghidangkan alkohol.
Dengan merujuk kepada kejadian sebelum ini, Zainal berkata campurtangan kerajaan dalam pengurusan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) mengundang masalah kepada syarikat penerbangan itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga bersetuju wajar membenarkan pramugari membuat pilihan.
“Saya tidak rasa cadangan ini akan membebankan MAB,” katanya ketika dihubungi FMT.
“Ia hanyalah pemilihan pakaian dan menghidang arak diatas kapal, lagipun ada pramugari bukan Islam yang boleh melakukan kerja-kerja itu.”
Bagi Mahfuz, adalah lebih baik alkohol diharamkan sama-sekali di dalam pesawat.
“Ini bukan soal agama semata-mata, tetapi dari sudut padang sosial dan ekonomi adalah lebih baik penerbangan yang bebas alkohol.”
Mahfuz berkata pengharaman alkohol boleh membendung mabuk di dalam pesawat, selain membantu MAB mengurangkan kos.
“Saya difahamkan alkohol yang dihidangkan di dalam kapal terbang itu percuma, maknanya MAB perlu berbelanja,” katanya, dan menambah kerajaan boleh mengarahkan MAB supaya mengubah dasar syarikat memandangkan kerajaan memegang saham secara tidak langsung dalam MAB.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa berkata MAS selaku syarikat penerbangan negara sewajarnya mencerminkan kepercayaan dan kebudayaan rakyatnya.
“Sudah tentu majikan mempunyai hak untuk menentukan peraturan pakaian atau persyaratan kerja.
“Tetapi secara idealnya, MAB, sepertimana syarikat-syarikat lain perlu mengimbangi kebimbangan akan imej syarikat dengan sensitiviti budaya rakyat,” katanya, sebelum menambah ada syarikat penerbangan lain yang telah menyesuaikan dasar masing-masing sebagai menghormati sensitiviti budaya tanpa perlu diberitahu supaya berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
Mujahid berpendapat sekiranya MAB gagal berbuat demikian, maka kerajaan perlu campurtangan dan menetapkan dasar itu.
Pada Sabtu, Asri, dalam muatnaik Facebook, mendakwa isu tidak membenarkan pemakaian hijab dan dipaksa menghidangkan alkohol merupakan isu yang kerap dibangkitkan kepada beliau oleh pramugari-pramugari beragama Islam.