MAS digesa beri hak kepada pramugari muslimah

MAS digesa beri hak kepada pramugari muslimah

Marilah kita menyokong permohonan ini kepada sebuah kerajaan yang sering melaungkan nama Islam dalam pelbagai slogannya.

Bahasa,-Dr-Mohd-Asri-Zainul-Abidin,-pramugari,-MAS.
PETALING JAYA : Rakyat Malaysia diseru memohon kepada kerajaan agar pramugari syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) diberi keizinan berpakaian memenuhi sifat pakaian wanita muslimah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga menyarankan agar pekerja muslim dan muslimah juga tidak ditugaskan untuk menghidangkan arak.

“Terimalah itu sebagai hak mengamalkan agama mereka iaitu Islam. Bahkan MAS tidak wajar menghidangkan arak. Banyak penerbangan yang tidak menghidangkan arak, mengapa perlu kita menghidangkannya.

“Marilah kita menyokong permohonan ini kepada sebuah kerajaan yang sering melaungkan nama Islam dalam pelbagai slogannya. Mohon mencadangkan,” katanya menerusi status terbaru di Facebook miliknya.

Beliau berkata demikian selepas mendapat aduan daripada salah seorang pramugari MAS ketika beliau menggunakan khidmat penerbangan MAS malam tadi yang mengadu dan menangis di hadapannya mengenai nasibnya.

Menurut pramugari MAS itu, jiwanya menderita kerana terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakain tudung.

Dr Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, beliau simpati dan tersentuh terhadap nasib yang menimpa pramugari berkenaan yang bekerja untuk menyara anak-anaknya.

“Lebih sedih lagi memikirkan MAS merupakan sebuah syarikat penerbangan negara yang majoriti penduduknya Muslim.

“Sesetengah orang Melayu jika diberitahu ada syarikat tertentu halang wanita muslimah memakai tudung ataupun memaksa mereka menghidangkan arak, tentu akan mengamuk sakan. Segala dalil dan semangat akan dihamburkan.

“Malangnya kita lupa bahawa syarikat penerbangan negara yang merupakan imej dan identiti Malaysia itu sendiri tidak membenarkan pramugarinya memakai tudung dan terpaksa menghidangkan arak,” tegasnya.

Beliau menambah, retorik-retorik politik berbaur agam yang sering didengar di media dan bicara ahli-ahli siasat itu tidak setakat mana jika dilihat kepada nasib pekerja-pekerja MAS yang beragama Islam itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.