Atlet Israel: Dyana Sofia minta jangan ‘double standard’

Atlet Israel: Dyana Sofia minta jangan ‘double standard’

Larangan dan sekatan juga patut dikenakan kepada atlet dari Myanmar dan Sri Lanka.

dyana-sofea
PETALING JAYA : Kerajaan tidak sepatutnya mengamalkan sikap ‘double standard’ berhubung larangan kepada dua atlet dari Israel menyertai satu pertandingan sukan di negara ini.

Ahli Majlis Eksekutif DAPSY, Dyana Sofya Mohd Daud berpendapat, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin seharusnya melakukan larangan yang sama terhadap Myanmar yang terang-terang melakukan genosid terhadap umat Islam negara itu tanpa tindakan dari kerajaan mereka.

Selain Myanmar, katanya, kerajaan Sri Lanka juga melakukan penganiayaan dan penindasan terhadap masyarakat Tamil di negara berkenaan.

“Tindakan penyekatan sukan ini pernah dilakukan oleh negara-negara dan badan-badan antarabangsa yang lain sebelum ini dan bukannya perkara baru.

“Ini bukan lagi isu agama, tetapi isu kemanusiaan. Walau nampak tidak adil pada atlet mereka, tetapi ini adalah antara langkah untuk menghantar mesej jelas kepada pemimpin mereka berdasarkan adat amalan antarabangsa,” katanya.

Dalam masa sama, Dyana yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan turut menyokong larangan kemasukan atlet Israel ke negara ini.

“Apabila ditanya pendirian saya tentang kemasukan atlet Israel, saya menjawab bahawa saya menyokong pendirian diplomatik negara kita berkenaan dengan Israel, di mana kita tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik pun,” tegasnya.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan telah menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan daripada mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf), di Langkawi.

Selain visa, Malaysia turut mengenakan beberapa sekatan termasuk sekatan ke atas penggunaan bendera Israel atau simbol serta larangan lagu kebangsaan Israel dimainkan jika pasukan mereka memenangi pingat emas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.