
Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata, Bandar Malaysia dinilai berjumlah RM12.35 bilion, manakala tanah yang mewakili 60 peratus pegangan dijual pada harga RM7.41 bilion.
“Kita sering menyatakan bahawa nilai sasaran untuk tanah ini adalah antara RM11 hingga RM12 bilion. Dengan urusniaga ini, kita telah melangkaui nilai yang disasarkan,” kata Arul dalam acara menandatangani perjanjian Bandar Malaysia di Royal Chulan pada Khamis.
Katanya lagi, memandangkan BMSB adalah syarikat subsidiari di bawah 1MDB, maka 1MDB akan kekal sebagai pemilik bagi 40 peratus pegangan.
Pegangan terbaru ini menandakan “langkah utama terakhir dalam pelan rasionalisasi 1MDB” yang juga telah membuktikan daya penarik projek pembangunan Bandar Malaysia.
“Selepas penjualan ini, 76 peratus daripada projek pembangunan kekal dimiliki orang Malaysia. Kira-kira 54 peratus daripadanya akan menjadi milik kerajaan negeri Johor dan Persekutuan,” katanya lagi.
Deposit 10 peratus atau RM741 juta akan dibayar kepada 1MDB ketika pelaksanaan Perjanjian Jual dan Beli Saham. Bakinya dijangka akan dibayar sebelum Jun 2016.
Projek pembangunan ini dijangka bakal mengubah Kuala Lumpur dalam masa 15 hingga 20 tahun, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDP) berjumlah RM150 bilion.
Konsortium IWH-CREC Sdn Bhd adalah usaha sama 60:40 antara IWH dan CREC.